Sumber dari D.I.Y Kahwin@Wedding...
Sebelum Majlis Perkahwinan
Persiapan
yang dijalankan termasuklah mendirikan bangsal penanggah, khemah
tetamu, menyiapkan pelamin dan bilik pengantin serta menyediakan bunga
telur. Majlis perkahwinan juga dikenali sebagai hari langsung atau hari
bersanding. Ia merupakan kemuncak istiadat perkahwinan dan pada hari
inilah pengantin digelar raja sehari.

Semasa Majlis Perkahwinan
Pengantin
lelaki akan diarak dengan paluan kompang dan diiringi dengan bunga
manggar dari rumah penanggak menuju ke rumah pengantin perempuan.
Kedatangan rombongan pengantin lelaki akan disambut dengan taburan beras
kunyit. Pengantin perempuan akan menyambut kedatangan pengantin lelaki
dan kemudiannya pasangan pengantin akan dibawa ke halaman rumah dan
duduk di tempat khas yang sediakan. Pada kebiasaannya, persembahan
pencak silat atau juga dipanggil menyembah pengantin akan diadakan.
Selepas itu, pengantin akan akan dibawa naik ke rumah untuk adat
bersanding pula. Di sesetengah tempat, pengantin lelaki terpaksa melalui
beberapa halangan di hadapan tangga, di muka pintu atau di atas pelamin
untuk mendapatkan pengantin perempuan. Oleh itu wakil pengantin lelaki
perlu membayar tebus pintu atau tebus pelamin. Pengantin akan bersanding
di atas pelamin yang dihias indah dan antara yang terdapat di atas
pelamin ialah bunga pahar. Semasa adat bersanding diadakan, adat
menepung tawar turut dilakukan. Para tetamu dan jemputan yang hadir juga
akan diberi bunga telur pada hari tersebut.
Seterusnya, majlis makan berdamai atau dipanggil juga makan beradab
dijalankan. Majlis ini hanya dihadiri oleh keluarga terdekat kedua-dua
pihak. Selepas majlis selesai, kedua-dua pengantin akan bersalaman
dengan kedua ibu bapa dan sanak saudara serta hadirin yang datang.

Selepas Majlis Perkahwinan
Di
sesetengah tempat, dua atau tiga hari selepas majlis perkahwinan,
pasangan pengantin tersebut akan menjalani upacara mandi sampat atau
mandi berlimau. Upacara ini dilakukan sebagai simbol kedua pengantin
telah selamat bersatu sebagai pasangan suami isteri yang sah. Dalam
upacara ini, kedua pengantin baru akan dimandikan dengan air mayang
pinang, air kelapa atau air limau. Adat ini hanya dilakukan di kalangan
ahli keluarga terdekat sahaja.
Seminggu
selepas itu, adat menyambut menantu atau mengundang menantu akan
diadakan. Di sesetengah tempat ia dipanggil majlis bertandang. Majlis
perkahwinan akan diadakan pula di rumah pengantin lelaki tetapi
sambutannya tidaklah semeriah majlis di rumah pengantin perempuan. Ada
juga yang menjalankan majlis bertandang ini dengan hanya mengadakan doa
selamat yang dihadiri oleh saudara mara dan jiran sekampung tanpa
mengadakan majlis persandingan.
Setelah
beberapa hari di rumah pengantin lelaki, pasangan suami-isteri tersebut
akan dibawa melawat ke rumah kaum keluarga dan sanak saudara. Tujuannya
adalah untuk merapatkan hubungan silaturrahim di samping kedua
pengantin dapat berkenal-kenalan dengan keluarga kedua belah pihak.
No comments:
Post a Comment