Sumber dari D.I.Y Kahwin@Wedding...
Akad Nikah
Akad
nikah adalah ajaran agama Islam didalam melansungkan perkahwinan dan
merupakan kemuncak kesahihan sesuatu perkahwinan. Akad nikah boleh
dilakukan di masjid, di pejabat kadi atau pun di rumah pengantin
perempuan dan dijalankan oleh tok kadi atau imam. Rukun nikah dibahagikan kepada 5 iaitu:
1. Pengantin lelaki
Pangantin
lelaki mestilah seorang Islam, baligh, berakal, tidak berada dalam
ihram atau umrah, tidak dipaksa kahwin, tidak beristeri lebih dari 4
orang, lelaki yang tertentu dan perempuan yang ingin dikahwininya itu
bukanlah mahramnya.
2. Pengantin perempuan
Pengantin
perempuan mestilah seorang Islam, tidak berada dalam ihram haji atau
umrah, bukan isteri kepada seseorang, tidak berada dalam iddah dan
perempuan yang tertentu.
3. Akad (Ijab & Qabul)
Di
antara syarat-syarat akad ialah lafaz yang digunakan mestilah lafaz
khas yang membawa maksud nikah atau kahwin serta tidak diselangi dengan
perkataan yang lain dari maksud nikah atau kahwin di antara ijab dan
qabul. Tidak boleh diselangi dengan diam yang lama antara lafaz ijab dan
qabul. Hendaklah bersamaan maksud antara lafaz ijab dan qabul. Lafaz
ijab dan qabul tidak dikaitkan dengan sesuatu perkara serta tidak
dibenarkan had atau tempoh masa bagi perkahwinan itu.
4. Wali
Syarat
bagi wali ialah mestilah seorang Islam, baligh, berakal, merdeka bukan
seorang hamba, seorang lelaki yang adil, tidak dipaksa, tidak berada
dalam ihram haji atau umrah dan bukan seorang lelaki yang fasik.
5. Dua orang saksi
Syarat-syarat
bagi saksi ialah mestilah beragama Islam, baligh, berakal, merdeka
bukan seorang hamba, dapat mendengar dan melihat dengan baik, tidak
pelupa atau nyanyuk, memahami bahasa yang digunakan semasa lafaz ijab
dan qabul dan tidak terkena atasnya menjadi wali.
Kebiasaannya majlis akad nikah:
- Dijalankan di rumah pengantin perempuan.
- Majlis berzanji atau pukulan kompang diadakan sementara menanti kedatangan rombongan pengantin lelaki.
- Wang belanja, mas kahwin dan lain-lain hantaran akan diperiksa oleh tuan kadi dan dua orang saksi bagi pihak perempuan sebelum upacara dijalankan.
- Pengantin lelaki akan duduk di atas sebidang tikar di tengah-tengah majlis.
- Tok kadi akan menemui pengantin perempuan untuk bertanyakan samada dia bersetuju atau tidak dengan pernikahan itu.
- Tok kadi juga akan membacakan khutbah nikah dan menerangkan secara umum akan tanggung jawab suami isteri dan lain-lain hal berkaitan rumahtangga dari sudut agama.
- Tok kadi akan membacakan lafaz nikah sambil berjabat tangan dengan pengantin lelaki dan pengantin lelaki dikehendaki mengulangnya sebaik sahaja tok imam menggoncangkan tangannya. Lafaz nikah berbunyi "Aku nikahkan dikau (nama pengantin perempuan) dengan mas kahwin sebanyak..(mengikut negeri) tunai" dan disambut oleh pengantin lelaki dengan lafaz berbunyi "Aku terima nikahnya..(sama seperti yang dilafazkan oleh tok kadi).
- Saksi akan mengesahkan samada lafaz tersebut jelas didengar atau tidak, sekiranya tidak jelas, pengantin lelaki tersebut akan mengulangnya sehingga saksi tersebut berpuas hati.
- Doa selamat akan dibaca sejurus selepas itu sebagai tanda kesyukuran kerana kedua-dua mempelai telah selamat diijabkabul.
- Selepas akad nikah:
- Pengantin lelaki akan melakukan upacara membatalkan air sembahyang.
- Si suami akan menyarungkan cincin atau memakaikan rantai kepada isterinya yang menanti di dalam bilik yang dihias indah sambil keduanya bersalaman.
- Adat ini dilakukan sebagai satu simbol bahawa pasangan tersebut telah sah diijabkabulkan.
- Adat berinai akan dijalankan di mana kedua mempelai ditepung tawar.
- Peralatan yang digunakan untuk upacara ini ialah semangkuk bertih, semangkuk beras kunyit, sepiring inai, beberapa tangkai daun seribu yang diikat dan semangkuk air tepung tawar.
- Wakil kedua-dua pihak akan menjalankan adat tepung tawar ini dengan cara mencalitkan sedikit inai dan air tepung tawar ke tapak tangan pengantin.
- Beras kunyit dan bertih tadi pula ditabur di hadapan pengantin dan juga kepada para hadirin.
- Bunga telur akan diberi kepada mereka yang menepung tawar. Jumlah orang yang menepung tawar lazimnya dalam bilangan ganjil.
No comments:
Post a Comment